Sunday, December 16, 2012

6 cara untuk kuatkan iman dengan Hari Akhirat


1. Ambil sedikit masa dalam sehari untuk beri'tikaf dan muhasabah diri.

Setiap hari kita sibuk berurusan dengan manusia hingga kita terlupa untuk menghitung bekalan amalan yang ada pada diri kita untuk dibawa ke akhirat kelak. Untuk itu, cuba ambil 10-20 minit setiap hari sebelum atau selepas solat berjemaah di masjid, niatkan i'tikaf dan muhasabah apa yang telah dan akan dilakukan pada hari tersebut. Lahirkan syukur dengan amalan yang telah dilakukan dengan meneruskan amalan dan menambah amalan-amalan lain, juga lahirkan rasa gerun dengan dosa-dosa yang telah dilakukan dengan berhenti berbuat dan beristighfar.

2. Hadiri majlis pengebumian.

Jika terdengar akan berita kematian, hadiri majlis tersebut. Ambil pengajaran dari majlis yang sedemikian. Lihat sendiri apakah gunanya pangkat dan harta apabila kematian menjelma. Lihat apakah kesan interaksi kita dengan masyarakat pada hari tersebut. Jika kita seorang yang baik dengan Allah Subhanahu wa Taala dan masyarakat, bagaimana majlis pengebumian kita dan jika sebaliknya, bagaimana pula?

3. Lazimkan diri menziarahi kubur.

Dengan menziarahi kubur, fikiran kita akan melayang-layang membayangkan apakah balasan yang dikenakan terhadap penghuninya. Adakah ia salah satu taman dari taman-taman syurga? Atau ia salah satu lubang dari lubang-lubang neraka? Bagaimana pula dengan nasib kita?

4. Melibatkan diri dalam urusan memandikan jenazah.

Lihat bagaimana mayat dimandikan. Tubuh terkujur tidak bergerak dan dibolak-balikkan sesuka hati oleh tukang mandi. Walau sehebat manapun kedudukan dia di muka bumi, apabila nyawa sudah berpisah dengan badan, maka tiada lagi kemegahan. Yang tinggal hanyalah sekujur tubuh yang tak mampu lagi bersuara; menyuruh apa yang dikehendaki, melarang apa yang dibenci. Pada saat itu, di manakah kita?

5. Ambil pengajaran dari klip video yang menggerunkan.

Saksikan video-video bencana alam yang menggerunkan. Perhatikan bagaimanakah kekuasaan Allah Subhanahu wa Taala yang mampu untuk menenggelamkan sebuah bandar dalam masa yang sekejap. Menghancurkan sebuah pekan dengan hanya menghantar angin. Tsunami, gempa bumi, ribut taufan -- itu semua tanda kekuasaan dan kebesaran Allah subhanahu wa taala. Maka ketika itu sanggupkah kita mengingkari perintahNya?

6. Berinteraksi dengan alam.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memberikan contoh yang jelas bagaimana Baginda berinteraksi dengan alam. Baginda mengajarkan kita doa-doa yang dibaca ketika hujan, ribut, guruh, petir, gempa bumi dan lain-lain. Para sahabat bergegas ke masjid apabila berlaku bencana alam bimbang pada hari itu berlakunya Hari Kiamat. Kita?

No comments:

Post a Comment